Iran dan Hegemoni Dollar
Hishamuddin RaisMar 10, 06 12:28pm
"If Iran gets safely and unmolested to nuclear status, it will be a threshold moment in the history of the world, up there with the Bolshevik Revolution and the coming of Hitler." – Times Online (27 Januari 2006) Pada 21 Mac ini ialah hari sambutan Naurus – hari tahun baru dalam kalender Parsi. Tarikh ini juga akan diangkat sebagai tarikh permulaan Tehran Bourse – Pasaran Minyak Tehran. Ketika ini hanya ada dua pasaran tempat membeli minyak di dalam dunia ini – di London dan di New York. Ini bermakna pasaran minyak Tehran ialah yang ketiga dibuka sebagai prasarana jual beli minyak dan gas. Seyogia diingati, bursa minyak Tehran ini bukan bursa minyak biasa. Jual beli minyak dan gas di Tehran tidak akan menggunakan Dolar Amerika tetapi ianya akan menggunakan Euro – nilai wang negara-negara Eropah. Duit Euro sedang digunapakai di 22 buah negara kesatuan Eropah. Apa implikasi penggunaan Euro ini? Untuk memahami perkara ini kita wajib memahami asas ekonomi kapitalis dan kuasa hegemoni imperialis Amerika Syarikat. Kapitalis ialah sistem ekonomi jual beli di mana yang menjadi asas hanyalah keuntungan. Hegemoni pula ialah kuasa besar yang memiliki kekuatan yang mungkin dalam bentuk politik, senjata atau ekonomi untuk menekan individu atau negara.
Hari ini hampir kesemua jual beli minyak dan gas dinilai dengan – kertas hijau – Dolar Amerika. Syarikat Petronas kita sendiri juga menggunakan Dolar sebagai nilai pertukaran jual beli minyak dan gas. Malah Dolar Amerika hari ini sedang dijadikan asas patukan untuk jual beli apa sahaja dalam pasaran dunia ini. Kuasa Dolar Amerika ini bukan muncul dengan tiba-tiba sahaja. Dolar juga memiliki sejarahnya sendiri. Ekonomi kapitalis memerlukan satu duit yang memiliki nilai untuk berjual beli. Pada awalnya duit ini berdasarkan nilai emas dan perak. Malah, sebelum 1970, ekonomi kapitalis dalam dunia ini semuanya bersandarkan nilai emas. Pada satu ketika dahulu, jika kita memiliki satu ringgit duit kertas di dalam tangan, bermakna ada tersimpan emas dengan nilai satu ringgit di dalam Bank Negara. Kekuatan ekonomi sesebuah negara-negara dapat dihitung dengan jumlah simpanan emas. Semua ini dilupuskan pada tahun 1970-an ketika imperialis Amerika di bawah presiden Nixon sedang melancarkan perang terhadap rakyat Indo China.
Nilai kertas hijau
Dengan kerjasama kabal-kabal Zionis, tuan-tuan empunya syarikat gergasi dan pemilik-pemilik bank antarabangsa – kuasa politik dan industri perang Amerika telah melupuskan perjanjian nilai emas ini. Apa yang diwujudkan hanya nilai kertas hijau – Dolar – sebagai ganti emas. Kuasa imperial Amerika juga telah mengadakan perjanjian dengan keluarga Saud di mana Dolar akan diterima sebagai kertas untuk jual beli minyak. Kuasa imperialis Amerika Syarikat berjanji akan terus menyokong dan mendukung keluarga Saud untuk terus memerintah semenanjung Arab. Arab Saudi pengeluar minyak utama di dalam OPEC akan memastikan negara-negara OPEC yang lain juga akan menggunakan Dolar. Di sinilah bermula persekongkolan intim di antara keluarga Saud dengan kabal-kabal Zionis dan kuasa industri perang Amerika. Dolar diperkenalkan kerana ekonomi kuasa industri perang Amerika pada tahun 70-an telah dipukul teruk oleh gerila-gerila pembebasan dari Vietnam, Laos dan Cambodia. Ekonomi kapitalis Amerika Syarikat telah mengalami kesakitan tenat sehingga membawa padah yang mungkin akan menamatkan riwayat kapitalis. Jika sistem ekonomi kapitalis runtuh, maka yang akan bangun ialah sistem ekonomi yang lebih adil, teratur dan terancang agihan dan perjalanan sistemnya untuk keadilan seluruh dunia. Mara ke hadapan ke tahun 2006 – kita semua sedang melihat suasana yang sama. Iraq adalah ejaan Arab untuk Vietnam. Syria untuk Laos dan Kemboja untuk Iran. Bala tentera Anglo-Amerika akan memasuki tahun ketiga dalam kancah perang di Iraq. Pintu kemenangan semakin jauh. Perang anti-Arab ini semakin tidak popular di Amerika Syarikat sendiri. Angka kematian anak muda Amerika telah melintasi 2,200 orang. Lebih daripada 11,000 lagi cedera parah. Dan hampir 13,000 cedera ringan. Ini angka-angka rasmi. Angka-angka rasmi ini saya kutip daripada Jabatan Pertahanan Amerika. Tetapi saya juga kurang yakin untuk terus mempercayai angka-angka ini. Ini kerana ketika Amerika ingin melancarkan perang dahulu, dunia telah diberitahu bahawa tujuannya ialah untuk memusnahkan senjata nuklear Saddam. Kini terbukti Saddam tidak memiliki senjata jenis ini. Seluruh dunia telah ditipu oleh Bush.
Ancaman bursa Tehran
Perang di Iraq telah membawa ekonomi Amerika ke satu tahap yang amat mara bahaya, sama seperti di zaman perang di Indo China dahulu. Telaga minyak yang telah ditakluki di Iraq masih belum dapat menghasilkan minyak murah yang diharap-harapkan. Gerila Iraq terus meletupkan loji dan saluran minyak. Harga minyak dunia terus meningkat. Dalam keadaan genting ini Iran pula akan membuka bursa minyak dan Dolar akan diketepikan. Amerika kini sedang terantuk kepala, terkelecek kaki dan tangan bergelumang dengan tahi ayam. Bursa saham Tehran ini bukan hanya tangga yang akan menghempap Amerika tetapi tali yang akan menjerut kuasa hegemoni Dolar Amerika. Hegemoni kuasa Dolar pasti akan dicabar oleh bursa minyak di Tehran. Justeru, saban hari media puak kanan, kabal-kabal Zionis dan kaum pemodal Amerika semakin lantang menyuarakan bahawa Iran lebih bahaya dari Iraq kerana Iran memiliki senjata nuklear. Iran dan wajib diserang kerana Iran akan membawa malapetaka nuklear terhadap rakyat dunia. Pelbagai macam jenis cerita-cerita dongeng sedang disebarkan. Ketika saya menulis, pelbagai bentuk kempen media sedang dijalankan, bukan hanya di Amerika malah media aliran kanan di Eropah juga turut sama menyebarkan berita ‘dongeng’ tentang bom nuklear Iran. Media Eropah yang dimiliki kaum Zionis dan kaum pemodal puak kanan sedang menyediakan ruang agar rakyat Amerika dan Eropah bersetuju Iran diserang. Media-media Israel sedang tunggang-langgang berkempen supaya Iran dibom secepat mungkin.
Saya amat yakin, senjata nuklear Iran itu hanya cerita dongeng. Laporan rasmi dari International Atomic Energy Agency (IAEA) – badan antarabangsa yang mengawal kuasa nuklear – telah menerangkan seperti tulisan John Pilger wartawan tersohor:
"Iran offers no 'nuclear threat’. There is not the slightest evidence that it has the centrifuges necessary to enrich uranium to weapons-grade material. The head of the IAEA, Mohamed El Baradei, has repeatedly said his inspectors have found nothing to support American and Israeli claims." --John Pilger, New Statesman, 2/13/06. Iran adalah negara keempat sesudah Saudi, Iraq dan Rusia yang memiliki hasil bahan bakar minyak dan gas terbanyak di dunia. Hari ini, 15 peratus atau hampir empat juta tong sehari bahan bakar minyak dalam pasaran dunia, berpunca daripada telaga minyak. Iraq juga dikatakan memiliki simpanan gas terbesar. Hasil bumi inilah yang mengeliur dan memberahikan nafsu para kapitalis besar dan kabal Zionis di New York dan London.
Iraq – sebuah negara Arab yang paling maju dan paling kuat bala tenteranya – telah dihancurkan oleh bala tentera Anglo-Amerika. Kini negara kedua yang wajib di musnahkan ialah Iran. Iran perlu dilemahkan dan diruntuhkan ekonominya. Selagi Iran masih berdiri teguh sebagai Iran hari ini, maka tidak mungkin kuasa Zionis Israel akan dapat mendirikan projek Israel Raya dari bumi Palestin hingga ke Iraq.
Kaum Zionis sedang bersekongkol dengan kabal neocon untuk memastikan tidak wujud lagi negara Arab seperti Iraq atau sebuah negara Islam seperti Iran yang memiliki keupayaan untuk bangun menentang Israel. Memusnahkan Iran ialah strategi utama kaum Zionis dan kabal neocon. Strategi Zionis ini selari pula dengan kepentingan ekonomi pemilik industri perang di Amerika Syarikat. Kekuatan hegemoni politik Amerika Syarikat bergantung kepada kekuatan bala tentera. Kekuatan bala tentera ini pula bergantung dengan kekuatan hegemoni Dolar. Hubungan Dolar dan industri perang ini kait-mengait dan sambut-menyambut. Dalam masa yang sama, pada hakikatnya, kuasa dolar hari ini hanyalah kuasa meriam buluh yang mungkin kuat bunyi letupannya tetapi tidak bertenaga. Dolar kini sedang dipaksakan sebagai matawang dunia kerana kuasa hegemoni senjata perang Amerika. Ekonomi Amerika pada ketika ini sedang merudum. Eksport utama Amerika Syarikat pada ketika ini ialah kertas hijau yang dicetak setiap hari sebagai dolar untuk membeli bahan keperluan 250 juta rakyat Amerika. Cerita dogeng AS Melalui kekuatan tentera, Amerika Syarikat telah memaksa negara lain membeli Dolar untuk kegunaan jual beli bahan bakar minyak.
Dunia sedang ditipu kerana membeli kertas hijau yang tidak memiliki apa-apa nilai. Dalam konteks inilah akan dilihat betapa ‘bahayanya’ bursa minyak Tehran ke atas hegemoni Dolar. Jika bursa minyak Tehran ini berjaya, maka negara-negara Eropah akan menggunakan matawang mereka sendiri dan Dolar akan ditinggalkan. Ini akan menjerut eksport utama Amerika – kertas hijau – yang dicetak saban hari oleh Federal Reserve. Negara China dan Jepun yang kini memiliki berbilion kepingan kertas hijau ini akan mula membeli Euro – pertama, kerana kedua negara ini adalah pengimport besar bahan bakar minyak dari Iran. Mereka memerlukan Euro dan akan menjual Dolar.
Simpanan Dolar mereka akan dikurangkan. Langkah ini pasti akan merudumkan nilai kertas hijau ini lagi. Rusia akan bersenang hati untuk menggunakan Euro. Pengimport besar bahan bakar minyak dan gas dari Rusia adalah negara Eropah. Dengan menggunakan Euro, Rusia akan dapat menikam ekonomi Amerika musuh lama mereka. Negara-negara Arab juga akan bersenang hati untuk menggunakan Euro. Negara-negara ini akan mula menjualkanDdolar yang semakin susut nilainya. Ini juga akan mempengaruhi negara-negara yang lain. Venuezela di bawah Chavez memang mengalu-alukan langkah Iran untuk meminggirkan Dolar. Langkah Chavez ini akan juga mempengaruhi negara Amerika Latin yang lain. Ini kerana sikap anti-imperialis negara Latin Amerika yang telah begitu lama diinjak-injak oleh Amerika Syarikat. Minggu lalu, satu kenyataan yang memeranjatkan telah kedengaran dari pengarah bursa Norway. Pengarah Sven Arild Andersen berkata, beliau telah bosan dengan Dolar dan inginkan jual beli bahan bakar minyak dan gas Norway dilakukan dengan Euro.
"We have performed market studies and both Russia, which is a large oil exporter, as well as the countries of the Middle East have large parts of their economies in Euros. They would be able to view such a bourse as a contribution to balancing their economies in a better manner than at present, where their products are traded solely in Dollars," says Andersen – Energy Bulletin (22 Februari 2006). Apa yang saya tuliskan ini semuanya menunjukkan sebab utama Iran mahu diserang atau dibom, bukanlah kerana senjata nuklear. Iran akan diserang kerana berani menentang hegemoni Dolar. Menentang hegemoni Dolar bererti berani melawan kekuatan politik dan ketenteraan kuasa imperialis Amerika Syarikat. Apabila hegemoni Dolar pecah, bermakna hegemoni kekuatan tentera Amerika akan pecah sama. Apabila ini berlaku bermakna Isreal juga akan tamat riwayatnya. Rakyat dunia mengetahui, kewujudan senjata nuklear Iran ini hanya satu dongeng. Apabila Iran diserang nanti, maka kita semua sudah sedar bahawa serangan itu nanti tidak bersangkut-paut dengan senjata nuklear.
No comments:
Post a Comment